MCA Pasir Gudang akan mengadakan mesyuarat bahagian tengahari esok, dalam usaha untuk meneliti pendirian sayap Pemuda mereka yang memutuskan hubungan dengan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak.

Difahamkan, pendirian sayap Pemuda bahagian itu mencetuskan keadaan tidak senang dalam MCA apabila buat pertama kalinya parti komponen BN membuat kenyataan seumpama itu.

Kenyataan oleh Ketua Pemuda Bahagian, Cia Chow Hui turut tersebar secara meluas di kalangan pemimpin MCA di Johor.

Ketua MCA Pasir Gudang, Tan Cher Puk berkata, dia sedia maklum mengenai kenyataan yang dibuat Cia, yang mewakili sayap Pemuda Bahagian itu.

“Saya tidak tahu apa yang sudah berlaku, tetapi saya yakin MCA Bahagian kami akan berbincang dan meneliti perkara ini dalam mesyuarat bahagian, esok.

“Kami (MCA Pasir Gudang) hanya boleh memberikan kenyataan selepas mesyuarat,” katanya kepada The Rakyat Post hari ini.
Hari ini, Malaysiakini melaporkan Pemuda MCA Pasir Gudang memutuskan hubungan dengan Najib, susulan sokongan yang diberikan kepada Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September lalu.

Ketuanya, Cia Chow Hui, dilaporkan berkata, perhimpunan Baju Merah pada 16 September merosakkan keharmonian kaum dan beliau tidak bersetuju dengan Najib yang menyifatkannya sebagai perhimpunan aman.

Sementara itu, Ketua MCA Gelang Patah, Jason Teoh Sew Hock, berkata dia ada mendengar mengenai kenyataan yang dibuat Cia hari ini, tetapi tidak dapat mengesahkan kesahihannya.

“Saya baru balik dari Sabah dan kenyataan yang didakwa dikeluarkan Cai (tersebar) dalam (aplikasi) Whats App group (kumpulan).

“Saya minta maaf kerana saya tidak boleh mengesahkan perkara ini dan saya memerlukan maklumat lebih lanjut,” katanya.

Teoh, yang juga Ketua Biro Aduan Awam, berkata menyifatkan Jawatankuasa MCA Pasir Gudang adalah pihak terbaik mengendalikan isu terbabit ketika Cai adalah ahli bahagian itu.