Diviral semula oleh Marlina fst
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Sakib Kusmi berkata, 14 orang daripadanya digantung kerja dan lapan orang lagi ditangguhkan kenaikan gaji.
Menurutnya, kesemua pegawai yang telah berkhidmat antara enam bulan dan 15 tahun itu terdiri daripada anggota skim perkhidmatan peringkat sokongan (KP17 dan KP38) yang bertugas di pintu masuk utama negara selain kakitangan skim F (bahagian teknologi maklumat) serta pengurusan vendor.
Beliau memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap 20 lagi pegawai atas kesalahan yang sama namun masih menunggu hasil siasatan penuh pihak polis.
“Kesemua yang dikenakan tindakan tatatertib itu merupakan 100 suspek yang terdiri daripada pegawai imigresen peringkat pertengahan ke bawah. Mereka telah ditahan bagi membantu siasatan berkaitan unsur sabotaj myIMMs.
“Pada 2010, tindakan telah diambil ke atas beberapa orang pegawai atas kesalahan berkaitan termasuk menamatkan perkhidmatan, tetapi siasatan mendapati mereka masih berhubung dengan pegawai yang terlibat dalam sindiket tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat lalu memaklumkan seramai 100 orang pegawai Jabatan Imigresen ditahan polis disyaki terlibat aktiviti mensabotaj myIMMs yang telah mengutip hampir bilion ringgit sejak 2010 sehingga kini.
Pada 18 Mei lalu, Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 mendedahkan kemudahan biometrik myIMMs bernilai RM10.3 juta yang dibangunkan bagi menyokong operasi utama Jabatan Imigresen kurang memuaskan dan merumuskan ia tidak dipasang di pintu masuk negara bagi tujuan penyaringan dan pengesahan identiti warga asing dan rakyat Malaysia.
Sakib memberitahu, sebagai langkah drastik menangani masalah penyalahgunaan myIMMs, Jabatan Imigresen telah melaksanakan barisan giliran pemeriksaan atau snake queue (satu barisan bengkang-bengkok) di balai ketibaan dan berlepas di KLIA berbanding sebelum ini terdapat lebih daripada satu barisan.
Selain itu, katanya, Jabatan Imigresen kini dalam proses menukar tempat bertugas anggotanya di pelbagai peringkat terutama di KLIA secara besar-besaran dan setakat ini seramai 63 pegawai terlibat.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan pihaknya dan polis, didapati modus operandi sindiket myIMMs adalah menggodam sistem dan ia hanya boleh dilakukan dalam kalangan pegawai yang mempunyai kad pekerja (ID kad).
Tambahnya, tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pegawai itu didapati mula aktif sejak tiga tahun lalu manakala pada 2014 dan 2015 beberapa peralatan yang digunakan sindiket telah ditemukan pihak berkuasa.
Sakib pada masa sama tidak menolak aktiviti mensabotaj sistem turut melibatkan pihak antarabangsa itu merupakan faktor berlakunya sindiket pemerdagangan manusia di KLIA.