Beliau juga berkata, soal ada pemimpin UMNO hantar nama sendiri kepada Najib yang juga Presiden UMNO untuk dicalonkan, sesiapa sahaja boleh berbuat demikian, termasuk ketua bahagian sekali pun.
“Bagaimanapun, yang memuktamadkan keputusannya adalah Presiden UMNO. Dia ada formulanya sendiri. Dia akan dapatkan laporan dan maklumat calon dari pelbagai pihak dan sumber, sebelum buat keputusannya.
“Dalam konteks calon BN Selangor, kita dah hantar secara rasmi nama mereka kepada pucuk pimpinan, tapi Perdana Menteri akan buat semakan dan penapisan semula,” kata Noh.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mengumumkan lebih awal calon bagi kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasannya pada Isnin minggu lalu.
Dalam pengumuman itu, Jamal menamakan Budiman Mohd Zohdi sebagai calon Parlimen Sungai Besar, manakala Datuk Imran Tamrin bagi kerusi DUN Sungai Panjang dan Ng Boon Keong untuk DUN Sekinchan.
Beliau pula tidak mahu dinamakan sebagai calon walaupun menjadi Ketua UMNO Bahagian itu dan pernah menolak cadangan pucuk pimpinan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar Ogos tahun lalu.
Menurut Noh, mengikut perlembagaan parti, Ketua Bahagian boleh mencalonkan sesiapa yang difikirkan sesuai, tetapi keputusan muktamad terletak pada presiden parti.
“Dia (Jamal) melihat dirinya dari skop dia sebagai ketua bahagian dan mengikut perlembagaan parti, ketua bahagian boleh mencalonkan tetapi keputusan muktamad terletak pada kepimpinan parti.
“Bukan saja ketua bahagian, semua orang pun boleh isytihar siapa nak jadi calon tapi akhirnya pucuk pimpinan yang akan menentukan,” ujar beliau