Beliau berkata setiap saat pemimpin parti itu hanya berfikir untuk mencari kelemahan orang lain berbanding kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang sepanjang masa mencari kaedah untuk mensejahterakan rakyat.

Sebagai contoh, Kurup berkata DAP menuduh beliau dan BN di kawasan Pensiangan menjadikan projek membaik pulih rumah rakyat termiskin sebagai usaha memancing undi.

“Itu tidak betul sama sekali dan segala tuduhan DAP itu umpama menangguk di air keruh semata-mata untuk mendapatkan keterusan politik mereka,” katanya kepada pemberita selepas meninjau rumah-rumah yang dibaik pulih di Kampung Mapila, Kuala Biah, Mampulut dan Ansip di sini semalam.

Kurup berkata tuduhan tidak berasas dilemparkan DAP terhadap BN itu berniat jahat serta bertujuan menimbulkan kekeliruan dan kebencian rakyat terhadap kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ingin saya jelaskan kepada anda (DAP) bahawa rumah-rumah di bawah program baik pulih yang anda dakwa sebagai tidak siap, dibuat secara ala kadar dan ‘cincai’, sebenarnya dalam proses pembinaan,” katanya.

Beliau mengakui terdapat beberapa rumah yang lambat disiapkan kerana menunggu alat binaan, selain faktor jarak serta cuaca tidak menentu di kawasan pedalaman sejak kebelakangan ini.

Lidah rasmi DAP – Roket.com pada 8 Dis lalu mendakwa program baik pulih rumah yang dianjurkan BN Pensiangan dikatakan ‘cincai dan ala kadar’.

“Dakwaan DAP itu semata-mata fitnah – sepanjang hari ini (Sabtu) saya membuat lawatan turun padang dengan melihat sendiri lapan buah rumah termasuk berjumpa dengan penerima yang didakwa DAP itu, dan mendapati rata-rata mereka berpuas hati…anda (DAP) sepatutnya melawat rumah-rumah yang telah siap,” katanya.

Kurup yang juga Anggota Parlimen Pensiangan berkata, pemimpin DAP ketandusan modal politik sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuk mempengaruhi rakyat dengan fitnah semata-mata untuk meraih simpati daripada pengundi di Pensiangan.

Beliau menasihatkan rakyat di kawasan Pensiangan supaya menjauhi dan menolak DAP yang disifatkannya sebagai ‘sedang menyuntik fahaman politik sangat berbahaya’ kepada rakyat di kawasan pedalaman Sabah khususnya di Pensiangan.

“Rakyat perlu menjauhi DAP?rakyat perlu menolak parti pemfitnah. Mari bersatu menyokong kerajaan BN yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.- BERNAMA