Assalamualaikum Tan Sri,

Saya mendoakan agar Tan Sri sentiasa berada didalam keadaan sihat walafiat selepas menjalani rawatan kesihatan di United Kingdom England.

Tan Sri, menceritakan sedikit latar belakang saya adalah seorang mahasiswa termasuk dalam golongan Gen Y, mengakui sebelum ini bahawa saya begitu obses menentang Tan Sri dan salah seorang penyokong tegar Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan.

Saya juga turut mengakui telah mengundi Parti Warisan Sabah di bawah Parlimen Sepanggar dan Dun Karambunai, kerana ingin melihat perubahan besar agar masa depan anak muda terutama golongan seperti saya dan ramai lagi mahasiswa termasuk Gen Y lainnya akan terpelihara di bumi Sabah yang tercinta ini.

Faktor lainnya yang menyebabkan saya menentang Tan Sri juga adalah kerana saya telah terpedaya dengan tohmahan dan fitnah yang menyatakan bahawa Tan Sri telah merompak wang negeri Sabah, janji manis oleh peminpin Parti Warisan dan pemimpin Pakatan Harapan kononnya akan memberikan peluang kerja yang lebih banyak termasuk pelupusan pinjaman PTPTN dan gaji minima sebanyak RM1500 juga menyebabkan semangat menumbangkan kerajaan pimpinan Tan Sri saya kehadapankan semasa membuang undi 9 Mei 2018 yang lalu.

NAMUN APA YANG MENDUKACITAKAN SAYA ADALAH SEGALA TOHMAHAN DAN JANJI OLEH PARTI WARISAN SABAH DAN PAKATAN HARAPAN TIDAK BENAR SAMA SEKALI DAN JANJI HANYA TINGGAL JANJI.

Baru- baru ini Datuk Seri Shafie Apdal sendiri telah mengesahkan bahawa rezab kewangan negeri Sabah bernilai 3 billion ringgit walaupun sebenarnya Shafie pernah menafikan adanya rezab kewangan yang sebegini banyak hasil kecemerlangan pentadbiran Tan Sri Musa Aman.

Shafie turut mengeluarkan kenyataan bahawa Sabah tidak mempunya apa-apa wang simpanan walhal ianya adalah sebaliknya. Manakala janji mahu menghapuskan PTPTN juga adalah tidak benar sama sekali, Gaji minima hingga 1500 ringgit masih ditunggu pelaksanaannya manakala janji penurunan harga barang juga masih belum menampakkan hasilnya.

Selepas 12 tahun Tan Sri mengetuai kerajaan negeri Sabah dengan rezab kewangan yang begitu banyak berjaya dikumpulkan, salah satu simbol kebanggaan saya atas usaha jerit payah Tan Sri selama ini adalah telah tersergam indah Pusat Pentadbiran Negeri Sabah berhampiran bangunan Tun Mustapha, jalan 4 lorong yang sedang dibina di laluan jalan Sulaman, Flyover Inanam dan Luyang, Pusat Rekreasi dan Riadah jalan teluk Likas, Pusat Konvensyen Dunia berdekatan Kastam, Mahkamah Majistret Baharu, Hospital UMS, Pusat Pemprosesan Minyak Sawit Lahad Datu, Pusat Minyak dan Gas Kimanis dan Sipitang, Jalan Pan Borneo dan banyak lagi mercu tanda pembangunan yang saya tidak dapat sebutkan disini yang amat membanggakan saya.

Sedangkan tidak wujud langsung perancangan serta tindakan pembangunan besar untuk manfaat rakyat negeri Sabah yang ketara ketika ini oleh Shafie Apdal melainkan perancangan pemberian dokumen khas kepada PATI bagi membolehkan mereka bekerja secara sah di Sabah, cadangan memberikan penempatan tetap kepada setinggan yang kebanyakan mereka adalah berbangsa Bajau asal Filipina, melantik kroni Shafie menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah bagi kuota Islam Dato’ Jaujan Sambakong yang turut berasal dari Semporna dan ADUN Sulabayan seolah-olah sudah tidak ada lagi bangsa bumiputera Islam yang lebih berkelayakan selain Jaujan, melantik Dato’ Peter Anthony memegang jawatan Menteri Pembangunan Infrastruktur yang bertanggungjawab untuk merancang dan menyediakan kemudahan infrastruktur dan awam di Negeri Sabah sebagai contoh Jabatan Kerja Raya.

Pelantikan Peter Anthony ini menimbulkan banyak persoalan kerana umum mengetahui Peter sebelum ini adalah seorang kontraktor kelas ‘A’ dan rakan karib kepada Shafie Apdal dan turut terpalit dengan kes rasuah SPRM bersama Shafie Apdal melibatkan projek KKLW bernilai 1.5 billion serta skandal melibatkan pengurusan jual beli tanah Risda bernilai 15.5 juta yang mana sehingga kini deposit tersebut belum dikembalikan kepada RISDA.

JUSTERU SAYA TERPANGGIL MEMBUAT SURAT TERBUKA INI KEPADA TAN SRI AGAR DAPAT MEMAAFKAN SEGALA SALAH SILAP SAYA KERANA TELAH MENGUNDI PARTI WARISAN SABAH…

Saya juga berjanji akan bangkit bersama-sama rakan mahasiswa lainnya untuk menentang Shafie Apdal, Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan bagi menebus kesilapan saya mengundi Parti Warisan sebelum ini.

CHRISTOPHER ABDULLAH, 
MAHASISWA MENGANGGUR.

Tulisan di atas adalah pandangan peribadi beliau (Christopher Abdullah) dan tidak mencerminkan langsung pandangan daripada pihak Malaysia Kini 2.0…